FAHMI (dua, kanan) melakukan tinjauan pengoperasian menara telekomunikasi di bawah Jendela sempena lawatan kerja beliau ke Sabah hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (kanan). FOTO Bernama
FAHMI (dua, kanan) melakukan tinjauan pengoperasian menara telekomunikasi di bawah Jendela sempena lawatan kerja beliau ke Sabah hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (kanan). FOTO Bernama
BERNAMA

Semporna: Kerajaan akan menyediakan pakej khas langganan Internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk dilanggan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 1 Julai ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pakej khas melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) itu akan menawarkan Internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil dengan harga lebih murah berbanding talian mudah alih.

"Perinciannya akan diumumkan (nanti), tetapi mulai 1 Julai sekolah di bawah KPM, ada 10,000 sekolah, akan dapat memilih pakej internet lebih laju, lebih murah.

"Kerajaan berharap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di negeri Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, di sini hari ini.

Fahmi berkata pihaknya turut melihat satu perkara tambahan iaitu menyediakan akses point tambahan seperti wifi tambahan, kerana terdapat kawasan tertentu capaian Internet terbabit hanya laju atau sampai sehingga ke bilik guru, pusat sumber sekolah atau makmal komputer sekolah sahaja.

"Bagi sesetengah tempat, sekiranya perlu kita boleh bantu untuk tambah beberapa akses point lain dan saya minta Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pendidikan meneliti perkara ini, dan saya sedia untuk membantu," katanya.

Selain itu beliau berkata pelaksanaan projek PoP sekolah luar bandar dan pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan Balimbang dijadikan sebagai hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik bagi membolehkan komuniti sekitar menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.

Beliau berkata secara keseluruhan 437,000 premis akan tersedia dengan perkhidmatan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi apabila projek ini siap kelak, dan manfaat ini diperoleh melalui pelaksanaan PoP fasa satu dengan perancangan 630 PoP dan PoP fasa dua dengan perancangan 3,693 PoP.

"Sehingga Mei 2024 sebanyak 1,044 PoP daripada 4,370 PoP telah disiapkan termasuk 59 PoP telah berjaya disiapkan sepenuhnya di Sabah," katanya.

Fahmi berkata sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi ini akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas bagi membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi serta dipraktikkan.

"Selain itu inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi digital bagi masyarakat luar bandar, pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian boleh dilaksanakan dengan adanya capaian rangkaian Internet yang lebih stabil, berkualiti dan menyeluruh.

Beliau berkata kelajuan perkhidmatan Internet yang disediakan akan menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan infrastruktur serta utiliti, contohnya Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Smart Grid, Smart Water dan lain-lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

"Jika dahulu pulau di Malaysia masih lagi dikategorikan sebagai kawasan terpencil dan sukar untuk berhubung. Menerusi inisiatif daripada kerajaan serta perkembangan teknologi terkini, terdapat beberapa pilihan bagi menghubungkan talian tetap antara pulau dengan daratan," katanya.

Fahmi dalam pada itu berharap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:14 PM