ANGGOTA polis membawa bayi yang ditemui di sebuah kedai menjual ayam ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut. FOTO Polis
ANGGOTA polis membawa bayi yang ditemui di sebuah kedai menjual ayam ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut. FOTO Polis
Rosli Ilham


Chukai: "Ini merupakan kejadian kali kedua berlaku di kedai saya," kata Raja Mahidi Raja Ayub berhubung penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di premis perniagaannya di Jabur Kubur, pagi tadi.

Raja Mahidi,38, berkata bayi itu ditemui seorang pemandu lori yang kebetulan hendak menghantar bekalan ayam ke kedainya kira-kira jam 7.30 pagi.

"Ketika cuba memunggah bekalan ayam, pemandu lori terbabit terdengar bunyi seperti anak kucing sebelum menghampiri tempat penemuan itu.

"Dia (pemandu lori) sangat terkejut bila mendapati suara itu sebenarnya seorang bayi tanpa pakaian dan menggigil kesejukan," katanya.

Menurutnya, bayi yang sudah tertanggal tali pusat itu ditinggalkan di atas simen dengan dialas dua helai pakaian.

"Sejurus tiba di kedai, saya ambil baju yang bersih dan membalut bayi terbabit bagi menghilangkan kesejukan yang dialaminya itu.

"Saya sangat sedih melihat bayi itu. Saya tidak faham apa perasaan mereka yang berbuat demikian seolah-olah tidak berhati perut," katanya.

Katanya, dia sanggup menjaga bayi itu sekiranya kedua ibu bapa bayi terbabit tidak mahu menjaganya dan perbuatan yang dilakukan pihak tidak bertanggung jawab itu sangat kejam dan menyakitkan hati.

" Kejadian ini adalah kejadian kedua bayi ini dibuang di kedai ini.Tahun lepas seorang bayi perempuan dibuang di sini.

"Selepas penemuan bayi perempuan itu, saya ada buat permohonan untuk hak penjagaan namun tidak berjaya mungkin belum rezeki saya," katanya yang sudah lama menunggu kehadiran zuriat keduanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata bayi terbabit dipercayai dilahirkan dalam tempoh seminggu sebelum dibuang di situ.

Menurutnya, bayi yang seberat kira-kira tiga kilogram itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk pemeriksaan dan dilaporkan sihat.

"Pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan pelaku dan kita percaya bayi itu dibuang oleh penduduk tempatan.

"Kita juga akan menyiasat sama ada bayi ini dibuang oleh individu yang sama pada tahun lalu dan pihak kami meminta kerjasama klinik kerajaan dan swasta sekiranya menerima pesakit yang baru melahirkan anak supaya segera menghubungi polis," katanya.

Hanyan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:35 PM