PENGARAH Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad (dua kiri) bersama Alfred Felix (dua kanan) ketika majlis pelancaran acara itu, Januari lalu.
PENGARAH Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad (dua kiri) bersama Alfred Felix (dua kanan) ketika majlis pelancaran acara itu, Januari lalu.

Kuala Lumpur: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal 'meriah' esok apabila seramai 3,038 peserta sudah mengesahkan penyertaan berkayuh di lebuhraya itu menerusi penganjuran kali pertama RHB WCE Century Ride.

Acara berbasikal yang kali pertama dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2024 itu menawarkan pelbagai kategori peringkat umur dengan tiga pilihan utama cabaran ditawarkan iaitu 160 kilometer (km), 90km dan 28km di Lebuhraya WCE yang akan bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir.

Menariknya, acara berbasikal yang dibawakan oleh Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama WCE itu berjaya menarik kehadiran peserta antarabangsa dari 19 negara iaitu Argentina, Australia, Brunei, Kemboja, Kanada, China, Denmark, Hong Kong, Indonesia, Itali, Jepun, Korea, Belanda, Norway, Filipina, Rusia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad dan Pengarah Urusan West Coast Expressway Sdn Bhd, Lyndon Alfred Felix berkata, meskipun ia pertama kali dianjurkan di WCE, beliau memberi jaminan acara itu akan berlangsung dengan meriah serta segala keperluan perlumbaan akan disediakan.

"Matlamat kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk semua peserta. Kami mensasarkan agar RHB WCE Century Ride menjadi acara tetap dalam kalendar berbasikal di Malaysia. Acara ini juga bertujuan untuk mempromosikan Lebuhraya Pantai Barat, menggalakkan pelaburan dan pembangunan di sekitarnya.

"Peserta boleh menjangkakan acara yang teratur dengan papan tanda laluan yang jelas, stesen hidrasi yang mencukupi, perkhidmatan ambulans bersiap sedia pada bila-bila masa sepanjang laluan.

"WCE Century Ride juga melantik penganjur acara yang sama seperti LEKAS Ride, yang mempunyai rekod cemerlang dalam menganjurkan acara berbasikal selama beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Menurut Alfred Felix, setiap peserta dinasihatkan mengambil beberapa langkah tertentu untuk memastikan penyertaan mereka di RHB WCE Century Ride berjalan lancar tanpa sebarang masalah, antaranya memeriksa basikal masing-masing sebelum bermulanya saingan.

"Setiap peserta dinasihatkan untuk merancang perjalanan, berehat secukupnya dan tiba awal untuk memudahkan urusan pendaftaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 4:21 PM