Kid (kiri) dan Din Search.
Kid (kiri) dan Din Search.
Oleh Ramlah Zainal 


Kuala Lumpur : Kumpulan Search yang ditunjangi pemain gitar adik-beradik iaitu Noordin dan Kid sedia bersemuka dengan Datuk Amy Search untuk berbincang isu royalti membabitkan album Rockology Search: Kid'Din Collection yang dipertikaikan vokalis utama Search itu.

Menerusi temubual bersama satu podcast, Noordin atau Din berkata, pihaknya bersedia untuk berbincang dengan Amy, tetapi ada syarat-syaratnya yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.

"Bersemuka (dengan Amy) tiada masalah, tapi ada syarat-syaratnya.

"Saya juga pernah jawab isu royalti ini dulu dan benda ni dah lapuk kerana cakap benda yang sama juga. Saya pun dah malas nak ulas benda ini.

"Orang yang bersalah, selalunya yang banyak cakap. Peminat pun tahu tiada apa yang nak disorokkan pun dan mereka (peminat) pun boleh menilai benda tu," katanya.

Mengenai isu royalti lagi, kata Din, ia cerita selepas 40 tahun yang diungkitkan semula pihak terbabit (Amy).

"Itu belum masuk cerita 30 tahun dan 40 tahun ke belakang kerana ada banyak lagi cerita.Kalau banyak cakap nanti, cerita jadi berlainan.

"Saya pernah buat sesi 'live' (siaran langsung) di Facebook mengenai isu royalti album Rockology pada 2002 lalu, tetapi pihak sebelah sana (Amy) tidak balas balik ," katanya.

Ditanya sama ada mereka mahu mengambil tindakan undang-undang (saman) dari segi tohmahan dilemparkan mengenai isu royalti pula, Din berkata, perkara itu sangat sensitif.

"Saman? Nak cakap benda itu sensitif, kalau yang faham, fahamlah," katanya.

Pada masa sama, Kid pula berkata, pihaknya juga bersedia untuk menyelesaikan isu royalti yang dibangkitkan Amy itu mengikut saluran undang-undang.

"Negara kita ada mahkamah dan undang-undang. Jika tidak puas hati, ikutlah saluran undang-undang yang betul. Itu adalah jalan yang terbaik," katanya.

Apapun, menurut Kid, sokongan peminat sangat penting buat kumpulan rock legenda Search itu untuk terus berjuang dalam bidang muzik tanah air.

"Biarlah kami (anggota Search) saja yang bergaduh kerana yang penting peminat bahagia. Tanpa peminat siapalah kami?," katanya.

Terdahulu, Amy mempertikaian tindakan Din dan Kid yang mengeluarkan album Rockology Search: Kid'Din Collection tanpa sebarang persetujuan mahupun perjanjian hitam putih.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman berkata, perbuatan itu bukan sahaja menunjukkan mereka tidak menghormati Search, namun termasuk bekas pemain dram, Allahyarham Yazit, selain didakwa melanggar undang-undang.

"Itu (royalti) hak kami (anggota Search), hak anak isteri arwah Yazit, hak Nasir dan saya. Ketika mereka putuskan jual album Rockology Search, sekeping dokumen pun tidak ada.

"Sedangkan lagu yang diterbitkan dalam album itu, kami mainkan bersama. Banyak benda yang dilanggar dan mereka tidak menghormati kami walaupun mereka tahu apa yang mereka buat itu salah," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 3:53 PM