AKHYAR sudah sembuh daripada kecederaan yang dialaminya. FOTO  GHAZALI KORI
AKHYAR sudah sembuh daripada kecederaan yang dialaminya. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid bakal membuat penampilan pertama berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam esok.

Berita gembira buat peminat setia skuad Penyu itu dimaklumkan ketua jurulatih skuad itu, Tomislav Steinbruckner yang akui pemain itu berada dalam perancangannya pada berdepan skuad Harimau Kumbang itu.

Bagaimanapun, jelas pengendali kelahiran Croatia itu, keputusan akhir sama ada dia disenaraikan ataupun sebaliknya akan diketahui esok kerana perlu melihat tahap kecergasannya selepas hampir dua minggu berehat.

"Akhyar sudah sembuh daripada kecederaan yang dialaminya, dia juga sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukannya bermula 14 Mei lalu.

"Pemain itu juga bersama kami bertandang ke Pulau Pinang kerana dia berada dalam perancangan saya untuk diturunkan selepas terlepas aksi pertama berdepan Perak FC tempoh hari.

"Namun keputusan akhir pemain yang bakal disenaraikan dalam kesebelasan utama akan diketahui esok kerana kita juga perlu menilai dalam beberapa aspek," ujar jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu ketika dihubungi.

Terdahulu Akhyar menjadi mangsa samun dan pukul dekat bandar Kuala Terengganu sehingga terpaksa menerima enam jahitan selain kerugian hampir RM5,000.

Dalam pada itu Steinbruckner meletakkan harapan yang tinggi agar skrip 'lambat panas' serta aksi tidak konsisten sebagaimana menentang Perak FC minggu lalu tidak berulang lagi."

Misi kita tiga mata untuk meneruskan rentak kemenangan, jadi sudah tentu saya mengharapkan corak permainan yang lebih baik daripada pemain berbanding tempoh hari, jadi semua pemain yang diturunkan perlu bekerja lebih keras dan mampu memperagakan aksi terbaik biarpun beraksi di tempat lawan.

"Ketiadaan lima pemain utama yang masih mengalami kecederaan bukannya alasan buat pemain," ujar Steinbruckner yang mahu jentera serangan lebih padu lagi selain pertahanan dan tengah serta penjaga gol.

Selain Azam Azmi Murad, TFC turut 'kehilangan' tiga pemain import iaitu Mathew Steenvoorden, Ivan Mamut dan Argzim Redzovic serta penjaga gol, Suhaimi Husin yang semuanya belum pilih daripada kecederaan yang dialaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 3:54 PM