KERETA yang rosak teruk selepas terkena serangan udara Israel di kawasan Bekaa, barat Lubnan. FOTO AFP
KERETA yang rosak teruk selepas terkena serangan udara Israel di kawasan Bekaa, barat Lubnan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Seorang komander kumpulan Hamas terbunuh dalam serangan Israel di daerah timur Lubnan berhampiran sempadan Syria, semalam.

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam dalam satu kenyataan berkata, Sharhabil Sayed terbunuh selepas menjadi sasaran pesawat Israel di kawasan Bekaa, barat Lubnan.

Sumber yang rapat dengan kumpulan itu berkata, Sharhabil adalah pegawai Hamas yang bertanggungjawab ke atas wilayah Bekaa di Lubnan dan tewas dalam serangan Israel yang menyasarkan kenderaannya.

Agensi pertahanan awam Lubnan melaporkan seorang syahid dan dua cedera akibat serangan udara Israel ke atas kenderaan berhampiran Majdal Anjar, sebuah bandar sekitar lima kilometer (km) dari sempadan Syria dan sekitar 60 km dari sempadan Lubnan dengan Israel.

Agensi Berita Kebangsaan rasmi Lubnan melaporkan seorang maut dan dua cedera dalam serangan musuh yang menyasarkan kenderaan di kawasan sama.

Serangan itu berlaku selepas serangan Israel pada awal hari itu membunuh seorang pejuang Hizbullah dan dua kanak-kanak, menurut kumpulan dari Lubnan itu dan media rasmi.

Selepas serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel mencetuskan perang di Gaza, sekutunya iaitu Hizbullah berbalas tembakan hampir setiap hari dengan tentera Israel merentasi sempadan.

Serangan kian meningkat, dengan tentera Israel semakin menyerang jauh ke dalam wilayah Lubnan, manakala Hamas dan kumpulan sekutu lain di Lubnan turut mendakwa melancarkan serangan rentas sempadan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 2:58 PM