Mohd Roji Kawi


Kuching: Datuk Seri Anwar Ibrahim tertarik dengan cogan kata 'Segulai Sejalai' yang menjadi tema sambutan perayaan Hari Gawai tahun ini.

Perdana Menteri berkata, cogan kata dalam bahasa Iban yang bermaksud 'Berjalan Seiringan' itu bertepatan dengan matlamat Kerajaan Perpaduan untuk mengukuhkan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Justeru katanya, beliau akan membawa cogan kata itu dengan lebih meluas bagi menyampaikan mesej perpaduan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Saya tertarik dengan moto sambutan Hari Gawai ini iaitu 'Segulai Sejalai', jadi malam ini saya nak pastikan ia menjadi moto negara seluruhnya.

"Mana-mana saya pergi (selepas ini), bila saya berbicara soal kesatuan, perpaduan, bekerjasama, maka saya akan sebut 'Segulai Sejalai'," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Perayaan Gawai Dayak 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Pemimpin lain yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

ABDUL Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Anwar dan Abang Johari tiba di Majlis Perayaan Gawai Dayak 2023, malam ini. FOTO Nadim Bokhari
ABDUL Taib, Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Anwar dan Abang Johari tiba di Majlis Perayaan Gawai Dayak 2023, malam ini. FOTO Nadim Bokhari

Mengulas lanjut, Anwar berkata, keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di Sarawak yang terjalin sejak sekian lama harus menjadi contoh kepada semua khususnya kalangan mereka yang suka mencetuskan isu berkaitan.

"Sampai masanya seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Semenanjung kalangan mereka yang riuh menimbulkan perbezaan, mencetuskan salah faham antara kaum, membawa sentimen agama jumud dan ekstrim supaya belajarlah dengan Sarawak.

"Jangan jadikan isu untuk memecah belahkan, menanam kebencian kerana sebagai manusia dalam pelbagai agama kita harus sedar tidak ada makna agama, budaya jika kita tidak membawa mesej keamanan, ihsan, kemanusiaan dan inilah yang harus kita bina," katanya.

Pada majlis sama beliau turut mengumumkan peruntukan tambah Kerajaan Persekutuan berjumlah RM10 juta untuk melaksanakan kerja pengukuran tanah hak adat Bumiputera (NCR) di Sarawak.

Sejak tahun 2010 hingga 2017, sejumlah RM150 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak bagi melaksanakan kerja pengukuran tanah itu.

Bagaimanapun, selepas 2018 peruntukan dikurangkan mendadak malah tahun ini hanya RM2 juta disalurkan.

"Justeru, saya meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan kerja-kerja berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 10:57 PM