Aizat Sharif


Kangar: Misteri kereta Honda City tersadai dalam longkang di kebun mangga di Bukit Chabang, Padang Besar membawa kepada penemuan ketulan mampat dadah disyaki ganja, Khamis lalu.

Pemeriksaan yang dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara menemui dadah seberat 56 kilogram (kg) terbabit dalam tiga guni di tempat duduk penumpang belakang dianggarkan bernilai RM173,600.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, anggota PGA yang melakukan pemantauan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) mengesan dua lelaki mencurigakan di laluan keselamatan Padang Besar berhampiran Kampung Kolam kira-kira 7.30 pagi.

Menurutnya, terdapat individu sedang membawa masuk bungkusan ke dalam kereta di mana ia dipercayai baharu sahaja dibaling dari negara jiran itu.

"Sepasukan anggota PGA yang membuat risikan di lokasi mendapati kereta itu bergerak keluar dengan agak laju menyebabkan mereka gagal mengesan pergerakan kereta berkenaan.

"Namun, sekitar 8.50 pagi, unit kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menerima maklumat keberadaan kereta Honda City yang mencurigakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, anggota polis kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui tiga guni diletakkan di tempat duduk belakang kereta itu.

"Ketika ditemui, kereta itu ditinggalkan oleh suspek dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 56 bungkusan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dengan berat 56kg.

"Kita percaya penemuan ganja ini mempunyai kaitan dengan kejadian sebelum itu dan ganja ini dipercayai diperolehi dari negara jiran untuk dipasarkan di negara ini," katanya.

Katanya, suspek dipercayai melarikan diri disebabkan kereta itu mungkin mengalami kerosakan enjin selepas memasuki longkang akibat gagal dikawal.

"Kita mengesyaki Perlis dijadikan lokasi transit untuk bekalan ganja itu dan ia dibawa ke kawasan selatan tanah air untuk dipasarkan.

"Gerakan memburu suspek kini giat dijalankan dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 1:58 PM
Muhammad Abdul Halim (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah kebun Mangga Harumanis di Bukit Chabang, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF
Muhammad Abdul Halim (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di sebuah kebun Mangga Harumanis di Bukit Chabang, Padang Besar. FOTO AIZAT SHARIF