Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Sebanyak 280 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 300 kilogram (kg) bernilai RM1.5 juta dirampas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Perlis selepas menahan sebuah bot nelayan di perairan Kuala Perlis, di sini, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku jam 3 pagi ketika anggota APMM sedang melakukan Ops Khas sebelum ternampak sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dikemudi seorang lelaki memasuki perairan Kuala Perlis.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Kepten Maritim Zulinda Ramly berkata, pihaknya yang menerima maklumat pergerakan bot nelayan berkenaan kemudian bertindak mengejar suspek yang dipercayai warga Thailand.

"Menyedari dihampiri oleh peronda APMM, suspek bertindak melajukan bot dan bergerak menuju ke kawasan pantai di Sungai Padang, Simpang Empat.

"Bot suspek bagaimanapun tersangkut di kawasan cetek sekitar 0.4 batu nautika dari barat pantai Sungai Padang menyebabkan dia terjun dan menghilangkan diri di kawasan hutan paya bakau sekitar lokasi berkenaan," katanya kepada pemberita di pejabat APMM Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan pada bot berkenaan menjumpai 11 bungkusan guni di bahagian penyimpanan ikan.

"Pemeriksaan menemui 280 ketulan mampat yang diikat dan dibalut kemas dengan plastik putih disyaki ganja mampat dipercayai cuba diseludup dari Thailand.

"Keseluruhan ganja yang dirampas itu seberat 300 kg bernilai RM1.5 juta manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk bot berkenaan dianggarkan bernilai RM1.53 juta.

"Bekalan ganja berkenaan dipercayai adalah untuk pasaran di negeri bahagian utara seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ahli sindiket mengemudi bot fiber berkapasiti enjin 90 kuasa kuda untuk bergerak dari perairan selatan Thailand menghala ke beberapa destinasi pendaratan di Kuala Muda, Kedah dan Sanglang, Perlis melalui perairan di Perlis.

"Kita percaya ia adalah jenayah terancang yang turut membabitkan rakyat tempatan dan warga asing yang berada di Perlis dan Kedah.

"Malah, kedudukan geografi sempadan Malaysia-Thailand yang sangat dekat ditambah kewujudan jeti nelayan tradisional yang banyak di kawasan pesisir pantai dan sungai serta kawasan paya bakau yang tebal dan berlumpur memudahkan penyeludup untuk membawa dadah dan barangan lain menggunakan laluan laut untuk bergerak," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 2:12 PM
ZULINDA (kiri) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang cuba diseludup masuk ke negara ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
ZULINDA (kiri) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang cuba diseludup masuk ke negara ini. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman