PASUKAN Polis Marin Langkawi, Wilayah Satu menemui tujuh ketulan mampat ganja yang ditinggalkan dalam sebuah sampan kayu yang hanyut. FOTO ihsan PASUKAN POLIS MARIN LANGKAWI
PASUKAN Polis Marin Langkawi, Wilayah Satu menemui tujuh ketulan mampat ganja yang ditinggalkan dalam sebuah sampan kayu yang hanyut. FOTO ihsan PASUKAN POLIS MARIN LANGKAWI
Aizat Sharif


Kangar: Penemuan sampan kayu tidak bernombor yang hanyut oleh pihak berkuasa di perairan Kuala Perlis, di sini membongkar cubaan sindiket pengedaran dadah menyeludup tujuh bungkusan ketulan dadah jenis ganja bernilai RM17,500.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi tadi apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi, Wilayah Satu mengesan sebuah sampan kayu tidak bernombor pendaftaran sedang hanyut tanpa dikemudi di kedudukan 0.5 batu nautika dari Pulau Brasmana di sempadan maritim Malaysia-Thailand.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati terdapat satu bungkusan guni berwarna putih dalam sampan itu.

"Anggota polis marin kemudian menjumpai tujuh bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 7,000 gram disimpan dalam guni putih berkenaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, selepas dipastikan tiada sesiapa sekitar kawasan perairan itu, sampan kayu berkenaan ditunda pulang ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kuala Perlis untuk siasatan lanjut sekitar jam 2.30 pagi.

"Jumlah keseluruhan anggaran harga rampasan dadah adalah bernilai RM17,500.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Surina menyeru kepada orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Perlis di talian04-987 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 3:57 PM