Aizat Sharif

Kangar: Polis menahan empat lelaki dan merampas 70 ketulan mampat ganja bernilai RM 217,000 disyaki cuba diseludup masuk ke negara di sekitar Padang Besar, di sini, 26 Oktober lalu.

Turut ditemui sepucuk pistol automatik jenis Beretta buatan Itali berserta 50 butir peluru sembilan milimeter yang diletakkan bersama bungkusan bekalan ganja berkenaan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, ganja berkenaan ditemui ketika Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara Batalion 3 Bidor, Perak melakukan rondaan di sebuah kawasan kebun getah berdekatan Kampung Kolam, Padang Besar yang terletak antara 500 hingga 600 meter dari pagar sempadan Malaysia-Thailand, jam 12.15 tengah hari.

"Pasukan rondaan ternampak kelibat seorang lelaki yang memberhentikan motosikal jenis Honda EX5 berwarna merah di kawasan itu.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian merebahkan motosikalnya sebelum melarikan diri dan polis yang memerhatikan gerak geri suspek kemudian memeriksa sekitar kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik hitam yang mana terdapat dua bungkusan guni putih yang di dalamnya mengandungi 70 ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar disyaki ganja seberat 70 kilogram (kg) keseluruhan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini hari ini.

MUHAMMAD (tengah) menunjukkan ganja serta pistol automatik yang dirampas di Padang Besar di IPK Perlis. FOTO Aizat Sharif
MUHAMMAD (tengah) menunjukkan ganja serta pistol automatik yang dirampas di Padang Besar di IPK Perlis. FOTO Aizat Sharif

Katanya, pemeriksaan selanjutnya turut menemui sepucuk pistol dan satu kotak kecil berisi peluru yang dilekatkan pada satu ketulan ganja berkenaan.

"Siasatan awal polis membawa kepada penahanan empat suspek berusia antara 30 hingga 40-an sehari selepas kejadian di beberapa lokasi di sekitar Padang Besar.

"Kita percaya suspek saling kenal mengenali antara satu sama lain dan mereka mempunyai peranan masing-masing dalam menyeludup ganja berkenaan ke negara ini.

"Malah, kita percaya sindiket ini mempunyai rangkaian antarabangsa yang mana bekalan ganja ini akan diseludup masuk ke Perlis melalui 'lorong tikus' di sekitar pintu sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar sebelum dibawa ke arah kawasan Selatan Semenanjung tanah air," katanya.

Menurutnya, suspek pertama hingga ketiga direman dari 27 Oktober hingga hari ini manakala suspek terakhir direman bermula semalam hingga 6 November.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2023 @ 5:02 PM