KETULAN ganja yang dirampas polis.
KETULAN ganja yang dirampas polis.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Omar Osman

Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menahan Raja Ganja selain melakukan rampasan terbesar ganja dalam sejarah membabitkan berat lebih 1.19 tan.

Semua dadah ganja itu yang diseludup dari negara jiran dianggarkan bernilai lebih RM4 juta mengikut harga pasaran.

Kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket itu susulan penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun di Subang Jaya, Selangor, jam 3 petang kelmarin.

Sumber polis berkata, suspek hidup mewah hasil aktiviti pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu ditahan ketika berada dalam kenderaan model Naza Citra.

Menurutnya, polis melakukan pemeriksaan pada kenderaan suspek menemui 160 ketulan mampat ganja disembunyikan di dalam empat guni plastik.

“Suspek disoal siasat kemudian membawa polis ke kediaman di USJ Subang. Polis kemudian

merampas 200 lagi ketulan mampat ganja disembunyikan di dalam lima guni plastik.

“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh bekalan ganja seberat 360 kilogram itu dari Sungai Petani, Kedah, sebelum dipasarkan sekitar Lembah Klang,” katanya kepada wartawan.

Suspek dipercayai mampu hidup mewah hasil kegiatan jenayah yang dilakukan secara solo itu.

Sumber berkata, suspek mengaku mengedar sekurang-kurangnya 500 ketulan ganja setahun dengan nilai jutaan ringgit.

Bertindak hasil maklumat diberikan suspek, STING menyerbu banglo di Merbok Sungai Petani, Kedah dengan dibantu anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, awal pagi semalam.

Sumber berkata, suspek yang ditahan di Subang menunjukkan polis lokasi banglo di kawasan kediaman merah itu sebelum pemeriksaan dilakukan.

“Polis menemui 800 ketulan mampat dadah ganja yang dibalut dengan plastik.

“Semua dadah itu kemudian dibawa ke pejabat JSJN, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda sebelum dihantar ke Bukit Aman. Sebanyak 1,208 ketulan ganja dirampas polis dalam dua serbuan itu,” katanya.

Menurutnya, polis kini berusaha mengesan saki-baki sindiket itu selain mengesan bekalan dadah itu diperolehi.

Kes itu turut menarik perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengucap tahniah kepada STING menerusi laman sosial Twitter miliknya semalam.

caption

pix 1; DADAH ganja yang dirampas bernilai lebih RM4 juta dan dianggap kejayaan terbesar tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 9:51 AM