BADERULHISHAM (dua kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dijumpai di pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar. FOTO Aizat Sharif
BADERULHISHAM (dua kiri) menunjukkan ketulan mampat ganja yang dijumpai di pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar. FOTO Aizat Sharif
Aizat Sharif

Kangar: Pemantauan udara menggunakan dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) di sekitar pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Chuping, Padang Besar Sabtu lalu menggagalkan cubaan penyeludupan ganja mampat ke negara ini.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, kejayaan itu menyaksikan rampasan 30 kilogram (kg) ketulan mampat ganja bernilai RM93,000.

Katanya, sekitar jam 4.30 pagi, dron yang diterbangkan di sekitar laluan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand itu mengesan kehadiran sebuah pikap dalam keadaan mencurigakan.

"Pemantauan dron itu mengesan pikap Toyota Hilux dipercayai berpendaftaran Thailand menghampiri pagar itu di bahagian negara jiran dan bertindak atas maklumat berkenaan, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 1 dikerah untuk pergi ke lokasi berkenaan 15 minit kemudian.

"Pasukan PGA menemukan tiga guni berwarna putih yang disembunyikan di sekitar kawasan semak di lokasi itu dan pemeriksaan lanjut menemukan 30 ketulan disyaki ganja yang dianggarkan seberat 30 kilogram," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya percaya bekalan ganja itu cuba diseludup ke negara ini oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan memotong dawai pagar sempadan negara untuk dipasarkan di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, polis yakin ada pihak yang akan mengambil dadah berkenaan pada waktu tertentu yang difikirkan selamat.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan ganja yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 150,000 orang penagih dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 1:22 PM