JOHN Nyigor (tujuh dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang mereka buat terhadap pemilik akaun Facebook Bozz Jebat. FOTO Bruno J
JOHN Nyigor (tujuh dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang mereka buat terhadap pemilik akaun Facebook Bozz Jebat. FOTO Bruno J
Mohd Roji Kawi


Kuching: Laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook dengan nama 'Bozz Jebat' kerana didakwa menghina Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, empat daripada laporan itu dibuat di Kuching, manakala masing-masing satu dibuat di Simunjan dan Serian.

Menurutnya, polis kini membuka kertas siasatan terhadap semua laporan itu termasuk laporan terbaharu yang dibuat sebelas Setiausaha Politik Premier Sarawak di Balai Polis Satok, tengah hari tadi.

Jurucakap kumpulan itu, John Nyigor berkata, Bozz Jebat bukan sahaja memainkan isu perkauman, tetapi juga seolah-olah menghasut rakyat Sarawak untuk menentang Semenanjung.

"Kami membuat laporan polis kerana kita mahu keharmonian kaum dan agama di negara ini dipelihara.

"Orang seperti ini yang cuba mencetus kebencian perlu diberi pengajaran," katanya.

Dalam hantarannya di Facebook, Bozz Jebat menyindir dan menghina Abang Johari kerana melantik Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

Ia susulan isu penurunan pangkat Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Ammar Abd Ghapar oleh Tiong.

Selain kumpulan Setiausaha Politik itu, laporan polis turut dibuat oleh Persatuan Kebajikan Sahabat Pembina Insan Sarawak (SAHABAT) Daerah Kuching and Persatuan Warisan Anak Sarawak (WARIS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:24 PM