Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Tan Sri Abang Johari Tun Openg
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyangkal dakwaan anaknya akan mengambil alih syarikat penerbangan yang kini digantung perkhidmatan, MYAirline.

Abang Johari berkata, anaknya Abang Abdillah Izzarim tidak tahu menahu berhubung isu pengambilalihan itu kerana ia memang tidak pernah dirancang oleh mana-mana pihak di Sarawak termasuk kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan Sarawak tetap dengan fokus untuk mengambil alih syarikat penerbangan MASwing dan tidak pernah beralih ke syarikat penerbangan lain.

"Apa yang berlaku (spekulasi) ialah anak saya ke sana (Kuala Lumpur) bersama rakannya dan mereka menghadiri sesi dialog syarikat.

"Orang nampak anak saya lalu terus buat andaian, seolah-olah dia akan melabur dalam syarikat penerbangan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian bangunan baharu kilang Taiyo Yuden di Zon Perindustrian Bebas Samajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Abang Johari berkata, dakwaan itu tidak adil bagi Abang Abdillah Izzarim kerana selepas spekulasi itu tersebar, anaknya itu menjadi serba salah.

"Kini anak saya serba salah, nak jalan (keluar) pun susah, semua orang perati (memerhatikannya). Kesian dengan dia," katanya.

Semalam, Business Times melaporkan MYAirline hampir mendapat pelabur baharu untuk membantu syarikat itu menyelesaikan masalah kewangan.

Pelabur baharu yang berpotensi itu didakwa adalah Abang Abdillah Izzarim Abang Abdul Rahman Zohari.

MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga diberitahu kelak.

Dalam satu kenyataan, Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu memaklumkan keputusan penggantungan itu dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.

Sementara itu, tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) hari ini mendapati kaunter syarikat terbabit tidak beroperasi.

Beberapa penumpang yang sudah membeli tiket untuk penerbangan ke Kuala Lumpur turut berada di KIA mendapatkan penjelasan.

Seorang anggota tentera, Mohd Razdhaan Abdul Rahim Nor, 25, beliau terpaksa membeli tiket penerbangan baharu dengan syarikat lain kerana perlu balik ke Seremban, minggu ini.

"Saya cuba mendapatkan penjelasan sama ada tiket yang sudah dibeli akan dibayar balik, tetapi kaunter pula tutup.

"Tak tahulah macam mana...ada pembayaran balik atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 2:02 PM