GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) terus memilih untuk menutup mulut berhubung kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Semua pemimpin utama empat parti yang membentuk gabungan itu seolah-olah ‘hilang dari radar’ apabila usaha untuk menghubungi mereka sehingga kini belum berhasil.

Malah, sidang media khas yang dijadual akan diadakan oleh Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 5 petang har ini, turut dibatalkan.

Menurut sumber, sidang media khas itu dirancang sejak semalam, namun berikutan perkembangan mengejutkan apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, GPS terpaksa membatalkannya.

Abang Johari juga dikatakan balik ke Kuching petang semalam, namun sumber yang rapat dengan beliau enggan mengesahkannya.

Beliau hanya memaklumkan, Abang Johari tiada di Kuala Lumpur dan tiada di Kuching, semalam.

“Tetapi hari ini beliau (Abang Johari) akan ke Kuala Lumpur semula,” katanya tanpa mendedahkan lokasi Abang Johari ketika dihubungi awal pagi tadi.

Katanya lagi, esok Abang Johari akan terus ke Miri untuk menghadiri Majlis Amanat Perdana Integriti yang dijadual diadakan pada 10.45 pagi diikuti Majlis Perasmian Wireless Walk pada 8 malam.

Abang Johari dijadual terus berada di Miri sehingga Khamis apabila beliau akan merasmiman Pusat Perkhidmatan Sarawak di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Miri, pada jam 3 petang.

“Ketua Menteri dijangka hanya akan ada di Kuching pada Jumaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Wanita GPS, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Abang Johari untuk menentukan hala tuju politik Sarawak.

“Kami yakin Abang Johari lebih mengetahui sentimen Sarawak dan kita dapat melihat beliau amat jelas tentang hala tuju Sarawak.

“Kami dalam GPS berdiri di belakang beliau dan percaya keputusannya berhubung hala tuju Sarawak adalah tepat dan yang terbaik untuk Sarawak dan seluruh rakyatnya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 11:03 AM