Mohd Roji Kawi

Kuching: Perayaan yang diraikan sesuatu kaum menjadi landasan terbaik untuk mengukuhkan perpaduan masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perpaduan kaum menjadi asas bagi mewujudkan kestabilan seterusnya memastikan kelancaran pentadbiran negara.

Menurutnya, apabila perpaduan menjadi amalan semua lapisan masyarakat, kerajaan dapat memberi fokus sepenuhnya kepada perancangan untuk membangunkan negara sama ada mengukuhkan ekonomi atau menumpukan perhatian membantu rakyat.

"Sebab itu kita harus kembali kepada perkara asas iaitu bersatu padu. Kurangkan berpolitik, kurang bercakap tetapi lebih kuat bekerja," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta isteri, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang.

Menurutnya, apabila masyarakat bersatu padu, negara mampu mencapai kecemerlangan dan menjamin kemakmuran semua rakyat.

"Sebab itu, saya mengharapkan budaya kunjung mengunjung ketika perayaan terus menjadi amalan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Tahun Baharu Cina bukan hanya perayaan untuk masyarakat Tiong Hua tetapi turut diraikan rakyat pelbagai kaum di Sarawak.

"Ini sudah menjadi budaya kita di Sarawak sejak sekian lama dan ia harus diteruskan kerana dengan perpaduan kukuh masyarakat pelbagai kaum dan agama, kita dapat terus membangunkan negeri ini dengan lancar," katanya.

FADILLAH dan Abang Johari bersama tetamu kehormat. FOTO Nadim Bokhari
FADILLAH dan Abang Johari bersama tetamu kehormat. FOTO Nadim Bokhari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 2:15 PM