Md Rozai Shafian
Md Rozai Shafian
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Md Rozai Shafian meninggal dunia kira-kira jam 11.40 malam tadi.

Anak Allahyarham, Anas Aidi berkata, bapanya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat komplikasi dalaman.

Katanya, kesihatan arwah bapanya merosot sejak dua minggu lalu dan dimasukkan ke sebuah hospital pakar perubatan swasta di sini, sebelum dipindahkan ke HSB.

"Arwah bapa sepatutnya menjalani satu prosedur perubatan tetapi keadaannya tidak stabil sejak dimasukkan ke HSB sejak empat hari lalu.

"Paras oksigen bapa juga menurun menyebabkan doktor tidak dapat melakukan proses seterusnya sebelum beliau disahkan meninggal dunia malam tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Md Rozai, 69, dilantik menjadi Speaker DUN Kedah dari 2013 hingga 2018 meninggalkan isteri, Datin Khalijah Ghazali dan enam anak.

Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang pada 1999 hingga 2004 ketika Kedah dipimpin Allahyarham Datuk Seri Syed Razak Syed Zain selaku Menteri Besar.

Allahyarham menerajui UMNO Pendang selaku Ketua Bahagian bermula 2004 hingga 2018 selain dua kali pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah pada 1996 hingga 1999 dan 2016 hingga 2018.

Bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) itu terjun ke arena politik setelah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid.

Jenazah Allahyarham Md Rozai dijangka dikebumikan selepas solat Zohor hari ini di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin di Kobah, Pendang.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata

UMNO Kedah kehilangan seorang bekas pemimpin yang sangat berjasa.

"Saya selaku pengerusi, mewakili seluruh kepimpinan UMNO negeri Kedah merakamkan ucapan salam takziah kepada isteri Allahyarham, Datin Khalijah Ghazali serta seluruh ahli keluarga.

"Sesungguhnya UMNO negeri Kedah kehilangan seorang bekas pemimpin yang banyak meninggalkan jasa khususnya ketika Allahyarham berkhidmat selaku Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri dan juga sebagai Ketua UMNO Bahagian Pendang dan kemudiannya selaku Speaker DUN Kedah," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 1:33 PM