JENAZAH Mohamad Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
JENAZAH Mohamad Aziz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, Johor Bahru. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Tan Sri Mohamad Aziz, yang meninggal dunia akibat sakit buah pinggang, semalam.

Hasni berkata, jasa Allahyarham dalam menabur bakti khususnya bagi menyatupadukan orang Melayu di Johor, selain berjiwa besar dan sentiasa memikirkan masa depan anak bangsa akan sentiasa diingati.

"Kita (Johor) merakamkan ucapan takziah buat keluarga dan mendoakan mudah-mudahan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Allahyarham banyak berjasa di Johor bahkan negara. Kita satu negara merasakan kehilangan besar seorang tokoh pemimpin yang banyak menabur bakti khususnya dalam menyatupadukan orang Melayu di Johor apabila kita berhadapan dengan isu yang cukup mencabar.

"Bagaimanapun, di akhir hayat, beliau banyak meluangkan masa bersama keluarga dan sahabat yang berkunjung juga bertemu dengan beliau dapat merasakan bahawa sehingga saat akhir hayatnya pun, beliau masih memikirkan soal nasib dan masa depan anak bangsa.

"Jadi inilah contoh dan tauladan seorang pemimpin yang berjiwa besar dan sentiasa fikirkan masa depan," katanya ketika ditemui hadir pada pengebumian Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Aliff, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Bekas Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Naim Nasir berkata, pencapaian dan perkembangan Allahyarham sehingga ke peringkat tertinggi bukan sesuatu yang mudah, selain memperlihatkan betapa bersungguhnya menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

"Saya mula mengenalinya dari zaman 80-an ketika saya membabitkan diri dalam dunia politik. Allahyarham membahasakan dirinya kepada saya sebagai Abang dan saya memanggilnya Abang sehingga ke akhir hayatnya.

"Kali terakhir saya berjumpanya adalah pada tahun lalu. Namun, kemudian dia mula tidak sihat tapi ingatan itu sentiasa ada padanya.

"Allahyarham digambarkan sebagai seorang yang ikhlas dan kerja bersungguh. Kita dapat lihat kejayaannya dalam dunia politik.

"Allahyarham terlalu jaga silaturrahim dia bersama kawan-kawannya temasuk... kerana itu apabila kita melihat kejayaan mahupun perkembangannya dalam politik sehingga ke peringkat negara, ia tidak semudah itu untuk dikecapi. Banyak saya belajar daripadanya, saya merasakan kehilangan itu," katanya.

Allahyarham Tan Sri Mohamad Aziz memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani bermula 1986 hingga 1999.

Beliau kemudian menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Sri Gading antara 1999 hingga 2013, selain pernah dilantik sebagai Speaker DUN Johor pada 2013.

Allahyarham juga berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan Johor apabila pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Kebajikan Masyarakat negeri pada 1990 hingga 1995, serta Ketua Penerangan Tugas-Tugas Khas Kerajaan Negeri Johor pada 1995 hingga 1999.

Dalam politik, Allahyarham pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sri Gading dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.

Berita berkaitan:

  • Jenazah Mohammad Aziz selamat dikebumikan
  • Bekas Speaker Dun Johor meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 11:56 AM