Allahyarham Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha
Allahyarham Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha
Mohd Roji Kawi

Kuching: Bekas Menteri Pertahanan Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, hari ini.

Berdasarkan maklumat di laman sosial, Allahyarham meninggal dunia di sisi ahli keluarganya 9.55 pagi pada usia 82 tahun.

Sumber berkata, jenazah Allahyarham akan diterbangkan ke sini melalui Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang hari ini.

Solat jenazah akan diadakan selepas waktu Asar di Masjid Bahagian Kuching sebelum dikebumikan di pekarangan masjid berkenaan.

Allahyarham memulakan kerjaya politiknya pada awal 70-an dan dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuching Barat pada 1973 hingga 1979 dan Adun Satok pada 1979 hingga 1981.

Beliau juga pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mulai 1976 hingga 1981.

Beliau kemudiannya memenangi kerusi Parlimen Paloh pada 1981 dan mempertahankannya sehingga 1990.

Selepas itu, beliau menjadi Ahli Parlimen Kuala Rajang mulai tahun 1990 hingga 2000.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pertahanan dalam Kabinet pertama, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kemudian beliau dinaikkan pangkat selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1990 hingga 1999 sebelum menerajui Kementerian Pertahanan mulai 1999 hingga 2003.

Allahyarham adalah ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan pernah menjadi menjadi timbalan presiden parti itu mulai 1988 hingga 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 4:12 PM