GAMBAR hiasan. DUN Johor. FOTO ihsan Medkom
GAMBAR hiasan. DUN Johor. FOTO ihsan Medkom
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia 21 Disember lalu.

Ucapan berkenaan dizahirkan Speaker DUN Johor, Suhaizan Kaiat sebelum memulakan Sidang Khas DUN Johor, di sini.

"Dukacita dimaklumkan mantan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang mula berkhidmat pada12 Mei 2018 hingga 13 April 2019 kembali ke rahmatullah pada 21 Disember 2021.

"Allahyarham juga adalah ADUN Kempas yang berkhidmat mulai 29 November 1999 hingga 2 April 2013 serta 11 Mei 2018 hingga 20 Disember 2021, selama tiga penggal.

"DUN Johor merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarganya dan marilah kita doakan semoga Allahyarham ditempatkan di kalangan orang beriman.

"Ahli Dewan yang beragama Islam sedekahkan ucapan Al-Fatihah kepada Allahyarham manakala yang bukan Islam bertafakur berdiri selama seminit," katanya.

Pada 21 Disember lalu, Osman dilaporkan meninggal dunia di ibu negara pada 11.45 malam.

Osman, 70, yang bekas Menteri Besar Johor ke-16 itu dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Damansara.

Allahyarham sebelum ini menerima serangan angin ahmar pada pertengahan Oktober lalu ketika berada di kediamannya.

Pada awal November lalu, keadaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Ayer Hitam itu dilaporkan stabil, namun masih belum pulih sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 10:28 AM