Amir Mamat


Ayer Keroh: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka hari ini, meluluskan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh daripada DAP Kerk Chee Yee, sebagai Timbalan Speaker yang baharu.

Cadangan nama anak bekas Setiausaha Agung DAP, mendiang Kerk Kim Hock itu, dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan disokong EXCO Kanan negeri, Datuk Rais Yasin (BN-Paya Rumput) serta majoriti ahli Dewan yang hadir.

Jawatan Timbalan Speaker Dun kosong susulan pelantikan penyandangnya, Datuk Khaidirah Abu Zahar (BN-Rim) sebagai Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Teknikal dan Vokasional (TVET) sejak Mac lalu.

Chee Yee pernah dilantik sebagai EXCO Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan negeri pada Mei 2018 hingga Mac 2020 selain pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustafa Musa turut dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) untuk tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Cadangan pelantikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Alor Gajah itu dicadangkan Ab Rauf dan disokong EXCO Sains, Inovasi, Teknologi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) serta majoriti ahli Dewan.

Semua keputusan undian itu diumumkan Speaker Dun Datuk Wira Ibrahim Durum.

Persidangan Kedua Penggal Kedua Dun Melaka ke-15 berlangsung selama tiga hari sehingga Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:20 PM