SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia bagi tahun 2016. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar, bertitah Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia bagi tahun 2016. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah mahukan supaya Pindaan Perkara 40(1A) dan Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan kepada Akta A885 yang dikuatkuasaan Parlimen pada 26 Jun 1994 dapat diperbetulkan semula.

Baginda bertitah, pindaan dilaksanakan itu merampas kuasa Yang Dipertuan Agong demi untuk kepentingan politik  atau kepentingan individu.

"Jika dulu orang-orang Melayu bersatu menentang 'Malayan Union' apabila kuasa raja dikecilkan dan dipaksa menerima penasihat British, namun kini parti politik Melayu jugalah yang mengehadkan kuasa Agong dalam mempertimbangkan sesuatu rang undang-undang.

"Dan lebih teruk lagi, memaksa Yang Dipertuan Agong untuk menerima dan bertindak mengikut apa juga nasihat Jemaah Menteri," titah baginda.

Baginda berkata demikian dalam titahnya ketika merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Seluruh Malaysia Tahun 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor (PERSADA) di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Titah baginda Institusi Parlimen atau Dewan Negeri mestilah dijaga sebagai lambang kedaulatan sesebuah kerajaan.

"Di mana-mana negara, bangunan Parlimen akan menjadi mercu tanda kepada negara terbabit.

"Sebab itulah saya mengekalkan Dewan Negeri johor di Bangunan Sultan Ibrahim yang menjadi mercu tanda negeri Johor dan status bangunan Dewan Negeri juga mesti dijaga. Jangan sampai ada yang bersidang di bawah pokok," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 1:51 PM