ALLAUDEEN mengesahkan menerima tiga laporan daripada Nik Elin mengenai ancaman dan ugutan. FOTO NSTP.
ALLAUDEEN mengesahkan menerima tiga laporan daripada Nik Elin mengenai ancaman dan ugutan. FOTO NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis mengesahkan menerima tiga laporan daripada peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul berhubung ugutan diterimanya terhadap tindakan mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tiga laporan itu disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Satu kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan arahan lanjut, manakala dua lagi kertas siasatan masih dalam siasatan.

"Pihak polis memohon bantuan daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti pemilik akaun sosial yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial.

"Mana-mana pihak yang ingkar boleh diambil mengikut Seksten 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Terdahulu, media melaporkan Nik Elin memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Katanya, beliau turut membuat tiga laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya itu.

Kelmarin, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 10:50 PM