Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Polis mengenal pasti pemilik tiga akaun media sosial yang disyaki menghantar mesej berbaur ugutan bunuh ke atas peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tiga kertas siasatan dibuka di mana satu daripadanya dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Tahun lalu, Nik Elin buat tiga laporan. Kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada dengan (dirujuk kepada) TPR beberapa minggu lalu.

"TPR memberi arahan tertentu tetapi belum lagi ada pendakwaan dan tiada tangkapan setakat ini.

"Dua lagi (kertas siasatan) masih disiasat dan kita akan lengkapkannya dalam terdekat dan serahkan kepada TPR," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

ALLAUDEEN (dua kiri) menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
ALLAUDEEN (dua kiri) menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Nik Elin Zurina memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 pada Februari 9 memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Keputusan bersejarah itu disampaikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan untuk membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 11:04 AM