DR Muhammad Khalil Abdul Hadi. FOTO Arkib NSTP.
DR Muhammad Khalil Abdul Hadi. FOTO Arkib NSTP.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah, boleh memberi impak negatif kepada sistem perundangan syariah di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, tanpa hilang hormat kepada institusi mahkamah, keputusan itu juga disifatkan sangat mendukacitakan seluruh umat Islam di Malaysia.

Katanya, ia merupakan hari kelam dan peristiwa hitam (Black Friday) yang akan dikenang semua.

"Cabaran terhadap undang-undang syariah ini akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Negeri Kelantan, bahkan di seluruh negara termasuk Terengganu.

"Sekiranya ada kes liwat di Terengganu dan pelaku didakwa di Mahkamah Syariah Terengganu, pelaku boleh merujuk kepada keputusan kes berkenaan bagi mengelak hukuman, sekali gus membatalkan undang-undang sama di Terengganu walaupun undang-undang terbabit telah dipersetujui dan mendapat perkenan Tuanku Sultan di negeri masing-masing.

"Sekiranya semua ini berterusan, kita juga bakal menyaksikan Mahkamah Syariah hanya gah pada nama tetapi tiada kuasa untuk menegakkan hukum Islam di negara ini.

"Itulah kesan daripada keputusan kes hari ini yang seharusnya diinsafi seluruh umat Islam tanpa mengira ideologi politik dan ia juga merupakan satu jentikan kepada kita untuk bersatu bangkit melawan serangan musuh Islam yang semakin rancak saban hari," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu turut menggesa kerajaan agar serius dalam mengkaji suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi melindungi kedaulatan undang-undang Syariah.

Katanya, sekarang bukan lagi masa untuk bersikap 'acuh tak acuh' seperti sebelum ini walaupun banyak nasihat dan amaran sudah diberikan oleh pelbagai pihak.

"Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan legislatif juga perlu menyokong usaha dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini.

"Langkah itu perlu bagi memperkasakan sistem kehakiman syariah agar sebarang tuntutan atau petisyen terhadap bidang berkenaan dapat dipatahkan," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Berita berkaitan

'Walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, ini demi kebaikan Malaysia' - Nik Elin Zurina

Nik Elin dan anak 'busybody', tiada locus standi - Hakim Besar Sabah dan Sarawak

Mahkamah Persekutuan isytihar 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan terbatal, tidak sah

Jumaat yang hitam terhadap undang-undang jenayah syariah - Takiyuddin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2024 @ 4:31 PM