Amalia Azmi dan Amalina Kamal


Kuala Lumpur: Peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Malah, katanya, beliau turut membuat tiga laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya itu.

"Banyak ancaman dalam hidup saya, begitu juga serangan melalui dalam talian lain dan (ancaman untuk) 'sembelih' saya.

"Saya sudah tak ingat berapa banyak ancaman yang diterima kerana semua individu ini tidak faham.

"Kalaulah mereka meluangkan masa untuk membaca dan memahami undang-undang dan sebab di sebalik cabaran (yang saya buat) itu, mereka akan faham.

"Apa yang mereka lakukan hanyalah mengikut arahan pemimpin politik mereka secara membuta tuli," katanya ketika menjadi tetamu dalam wawancara eksklusif podcast 'Beyond the Headlines' bersama New Straits Times.

Semalam, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

NIK Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha (kiri) ketika menjadi menjadi tetamu dalam wawancara eksklusif podcast 'Beyond the Headlines' bersama New Straits Times. FOTO Aswadi Alias.
NIK Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha (kiri) ketika menjadi menjadi tetamu dalam wawancara eksklusif podcast 'Beyond the Headlines' bersama New Straits Times. FOTO Aswadi Alias.

Beliau mengetuai panel sembilan hakim membacakan penghakiman dicapai melalui majoriti 8-1 selepas mahkamah memutuskan dua lagi kesalahan dalam enakmen itu yang disenaraikan dalam petisyen berkenaan adalah sah.

Tengku Maimun berkata, petisyen itu dibenarkan kerana badan perundangan negeri membuat undang-undang yang ia tiada kuasa membuatnya dan tiada kena mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah.

Keputusan berkenaan mengundang pelbagai reaksi, termasuk pihak yang turut mengaitkan penghakiman Mahkamah Persekutuan itu dengan politik.

Dalam pada itu, Nik Elin ketika mengulas lanjut mendakwa beberapa individu gagal memahami motivasi di sebalik petisyen yang difailkannya itu.

Beliau menegaskan, Islam ditakrifkan oleh keamanan, satu konsep yang berbeza dengan tindakan ahli politik tertentu dan pengikut mereka.

"Sedangkan Islam bagi kita adalah tentang cinta, belas kasihan, dan kedamaian.... tindakan mereka (ahli politik tertentu) adalah bertentangan dengan ini.

"Mudah-mudahan mereka akan membuka minda mereka. Ahli politik memilih untuk mengambil langkah terdesak," katanya.

Nik Elin juga mendakwa, beberapa individu mempolitikkan isu berkenaan, meskipun langkah beliau mencabar beberapa seksyen jenayah syariah dalam enakmen berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan politik.

Malah, katanya mereka sekarang turut mempersoalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedangkan ia tidak ada kena mengena dengan Perdana Menteri atau mana-mana parti politik tertentu.

"Ini hanyalah cabaran (undang-undang) yang kami buat bagi pihak rakyat Malaysia," katanya.

Lebih banyak inti pati wawancara ini akan disiarkan pada episod penuh Beyond the Headlines jam 9 pagi esok yang boleh ditonton melalui saluran YouTube NST, NST Online.

Berita berkaitan

'Walaupun dikutuk, dikeji dan dilaknat, ini demi kebaikan Malaysia' - Nik Elin Zurina

Nik Elin dan anak 'busybody', tiada locus standi - Hakim Besar Sabah dan Sarawak

Mahkamah Persekutuan isytihar 16 peruntukan Enakmen Syariah Kelantan terbatal, tidak sah

Jumaat yang hitam terhadap undang-undang jenayah syariah - Takiyuddin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 12:00 AM