Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah baru-baru ini, tidak menjejaskan Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, hanya 16 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 diisytihar terbatal dan tidak sah.

Sebaliknya katanya, peruntukan-peruntukan dalam Enakmen Ordinan Jenayah Syariah di negeri-negeri lain masih lagi sah dan berperlembagaan.

"Peruntukan-peruntukan dalam Enakmen Ordinan Jenayah Syariah lain di negeri-negeri lain masih lagi sah dan berperlembagaan serta boleh dikuatkuasakan.

"Selagi Perlembagaan peruntukan-peruntukan itu tidak dicabar dan tidak diisytiharkan sebagai tidak sah dan tidak berperlembagaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan bagaimana kerajaan hendak menguruskan peruntukan yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, sedangkan undang-undang seumpamanya masih lagi ada di peringkat negeri.

Takiyuddin juga turut bertanyakan sama ada Kerajaan Persekutuan boleh mengarahkan negeri bagi meminda undang-undang syariah.

Mengulas mengenai arahan pindaan itu, Zulkifli berkata, berdasarkan Fasal 2 Perkara 74 dan Butiran 1 Senarai 2, Senarai Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan Hal Ehwal Agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

"Maka Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja adalah pihak berkuasa utama yang perlu dirunding dan perlu memberi perkenan atas nasihat Majlis Agama Islam Negeri," katanya.

NIK Elin.
NIK Elin.

Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel sembilan hakim dalam keputusan majoriti 8-1 diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen itu manakala kerajaan Kelantan selaku responden tunggal.

Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu, hanya dua undang-undang Seksyen 13 dan 30 yang dibenarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2024 @ 3:25 PM