Lori yang terbabit dalam kemalangan 335.6, Lebuh Raya Pantai Timur Dua. FOTO Rosli Ilham
Lori yang terbabit dalam kemalangan 335.6, Lebuh Raya Pantai Timur Dua. FOTO Rosli Ilham
Oleh Rosli Ilham


Dungun: Seorang lelaki maut sementara isterinya cedera selepas lori yang dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 335.6, Lebuh Raya Pantai Timur Dua (LPT2), berhampiran Hentian Rawat & Rehat (R&R) Paka, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi, Che Abu Bakar Endut,71, beralamat di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal di tempat kejadian.

Isteri mangsa, Haliyoh Ali, 57, yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri itu yang merupakan peniaga ikan, dalam perjalanan mengambil bekalan ikan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Dungun.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lori jenis Nissan Vanette yang dipandu mangsa dari lorong kanan secara tiba-tiba menukar ke lorong kiri.

"Dalam masa yang sama, sebuah kereta jenis Perodua Axia yang berada di belakang lori terbabit gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, lori mangsa kemudiannya merempuh besi penghadang lebuh raya lalu terbalik," katanya.

Maizura berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Paka terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

"Pemandu dan penumpang kereta Perodua Axia terbabit hanya mengalami kecederaan ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 11:21 AM