GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rosli Ilham


Dungun : Seorang wanita bertindak mencederakan bahagian leher dan dada anaknya yang juga seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Kerteh, dekat sini, malam tadi.

Suspek yang berusia 71 tahun dan mengalami masalah emosi dan gemar bersendirian itu bertindak mencederakan anaknya dalam kejadian kira-kira jam 9 malam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 46 dikatakan sedang tidur di dalam bilik manakala suspek sedang berbaring di luar.

Menurutnya, seorang lagi anak lelaki mangsa yang juga pengadu berusia 33 tahun sedang berada di ruang tamu.

"Secara tiba-tiba, pengadu terdengar jeritan daripada kakaknya (mangsa) sebelum pengadu bergegas masuk ke dalam bilik.

"Ketika itu pengadu melihat ibunya itu sedang memegang sebilah parang pendek sebelum bertindak merampas parang terbabit," katanya.

Maizura berkata, pengadu kemudiannya bertindak menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.

"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian leher dan dada itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

"Mangsa mengalami luka di bahagian dada sedalam kira-kira lapan sentimeter dan menerima lima jahitan serta kecederaan di bahagian leher," katanya.

Menurutnya, suspek dipercayai mengalami kemurungan selepas kematian suaminya kira-kira dua bulan lalu.

"Suspek kemudiannya dihantar ke Unit Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

"Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 7:03 PM