FOTO tular menunjukkan pacuan empat roda yang melawan arus Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Batu 7 berhampiran Dungun.
FOTO tular menunjukkan pacuan empat roda yang melawan arus Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Batu 7 berhampiran Dungun.
Rosli Ilham


Dungun: Polis mengesan pemandu sebuah pacuan empat roda berwarna putih kerana memandu melawan arus di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 85, Jalan Kuala Terengganu - Kuantan, dekat Batu 7, di sini.

Menurutnya, polis mengesan sebuah video tular memaparkan pacuan empat roda itu dipercayai keluar dari satu persimpangan dengan melawan arus menghala ke Paka.

"Biarpun tidak menyebabkan kemalangan, tindakan yang dilakukan pemandu itu sangat bahaya dan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

"Susulan video itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Dungun menjalankan usaha mengesan individu yang memandu kenderaan itu untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Maizura berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta segera menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun di talian 09-8482222.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira 4 petang semalam itu sempat dirakam kamera papan pemuka milik seorang pengguna jalan raya sehingga ia tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 7:52 AM