LIM Hui Ying ketika ditemui di Pasar Chowrasta hari ini. FOTO MIKAIL ONG
LIM Hui Ying ketika ditemui di Pasar Chowrasta hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kementerian Kewangan melalui Jabatan Akauntan Negara akan mengadakan bengkel berhubung Wang Tidak Dituntut (WTD) dalam usaha meningkatkan kesedaran rakyat untuk menuntut kembali baki wang milik mereka.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, berkata bengkel itu akan membabitkan penyertaan semua pejabat Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Kerajaan Perpaduan di seluruh negara.

Katanya, ia perlu memandangkan jumlah WTD setakat ini kian meningkat kepada RM11.7 bilion pada Disember lalu berbanding RM11.3 bilion yang direkodkan enam bulan sebelumnya.

"Ini semua adalah baki wang rakyat meliputi dari akaun simpanan, insurans, deposit termasuk dividen tidak dituntut hingga jumlahnya mencecah RM11.7 billion yang angka ini amat tinggi.

"Angka ini menunjukkan tahap kesedaran untuk membuat tuntutan masih rendah dan memerlukan lebih banyak pameran atau kempen dilaksanakan.

"Oleh itu, di peringkat permulaan dalam membantu golongan ini membuat tuntutan kita akan mulakan projek dengan mengadakan bengkel bersama semua kakitangan pejabat Ahli Parlimen dan ADUN bagi membolehkan mereka membantu masyarakat di pusat perkhidmatan," katanya ketika ditemui pada program Walkabout Pemberian Limau sempena Tahun Baharu Cina di Pasar Chowrasta, di sini, hari ini.

Katanya, bengkel itu dimulakan dengan Pulau Pinang yang ia akan diadakan pada 6 Februari depan.

Mengulas lanjut, Hui Ying berkata, sebagai Ahli Parlimen Tanjong beliau menerima aduan dan panggilan orang awam berhubung cara membuat tuntutan WTD.

"Bagaimanapun, ditegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai ejen dalam membantu mereka membuat tuntutan dan menyeru kepada masyarakat dengan tidak terpedaya dengan pihak yang menyamar bagi mengelak ditipu.

"Untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan WTD, semakan boleh dibuat melalui sistem e-GUMIS dan boleh mengunjungi pejabat (Jabatan Akauntan Negara) di Komtar bagi penduduk Pulau Pinang serta pusat khidmat berdekatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hui Ying berkata, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi Fasa Satu bertambah 26 peratus kepada RM2.1 bilion daripada RM1.67 bilion pada tahun lalu.

"Setakat ini, seramai 8.2 juta individu yang layak telah berdaftar untuk STR 2024 yang bayaran akan mula dikreditkan kepada mereka yang layak secara berperingkat mulai Isnin ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 12:51 PM