GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norsyazwani Nasri


Sibu: Polis memberkas empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kes penipuan tuntutan wang tidak dituntut menggunakan dokumen palsu membabitkan kerugian RM 175,014.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zukipli Suhaili berkata, keempat-empat suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 28 hingga 42 tahun.

"Permohonan reman dipohon bagi siasatan lanjut berhubung kes ini.

"Kita sudah menerima tiga laporan polis berkaitan tuntutan palsu wang tidak dituntut oleh tiga mangsa yang berbeza," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, ketiga-tiga mangsa membuat semakan melalui sistem E-Gumis Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan mendapati mangsa mempunyai wang yang tidak dituntut.

"Namun, apabila mangsa cuba untuk membuat proses tuntutan, didapati wang mangsa sudah dituntut oleh individu yang tidak dikenali.

"Suspek dipercayai menggunakan dokumen palsu seperti salinan sijil kematian palsu, salinan sijil probet (sijil pengesahan wasiat) palsu dan salinan surat akuan sumpah palsu untuk membuat tuntutan wang tidak dituntut milik mangsa," katanya.

Zulkipli berkata, ketiga-tiga mangsa menafikan mengenali suspek yang membuat tuntutan dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 / 471 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 10:14 PM