Mohd Nasif Badruddin

SEBANYAK RM5.779 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) masih berada dalam simpanan Jabatan Akauntan Negara sebagai pemegang amanah sejak 1977 hingga 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Othman Aziz berkata, ia membabitkan lebih 55 juta akaun seperti simpanan, semasa atau perniagaan.

"Sekiranya sesuatu akaun yang tidak aktif melebihi tujuh tahun, baki akaun terbabit menjadi WTD sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 8 Akta WTD 1965 dan hendaklah diserahkan kepada Pendaftar WTD.

“Pendaftar WTD sebagai pemegang amanah akan menyimpan dengan selamat wang terbabit mengikut peraturan kewangan berkuatkuasa sehingga ia dituntut oleh empunya yang berhak. WTD adalah akaun amanah kerajaan di bawah Seksyen 10 Akta Acara Kewangan 1957.

"WTD ini akan dibayar kepada empunya tanpa faedah berdasarkan Seksyen 11(3) Akta WTD 1965," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan langkah serta strategi kerajaan dalam menyelesaikan permasalahan WTD di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, WTD ialah wang yang perlu dibayar di sisi undang-undang kepada pemilik yang sepatutnya dalam tempoh masa tertentu seperti mana ditetapkan oleh Akta WTD 1965.

Katanya, mengikut Seksyen 8 akta itu, terdapat tiga kategori WTD iaitu wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh melebihi satu tahun, wang di dalam kredit sesuatu akaun yang tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam tempoh masa melebihi tujuh tahun dan wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang tidak dikendalikan melalui apa-apa urusniaga dalam satu tempoh melebihi dua tahun.

Beliau berkata, sebagai pemegang amanah, kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas wang berkenaan dan sentiasa memastikan ia selamat dalam pegangan kerajaan sehinggalah ia dituntut.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan di 25 kaunter Bahagian WTD disediakan di seluruh negara iaitu 13 di semenanjung, Sarawak (tujuh), Sabah (empat) dan sebuah kaunter baharu akan dibuka di Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 7:05 PM