ORANG ramai membuat semakan di pekarangan lobi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Putrajaya, semalam.
ORANG ramai membuat semakan di pekarangan lobi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di Putrajaya, semalam.
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Orang ramai sanggup beratur lebih satu jam untuk membuat semakan di kaunter wang tak dituntut (WTD) yang dibuka di pekarangan lobi Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, di sini, semalam.

Difahamkan, kaunter yang dibuka selama lima jam sejak 10 pagi hingga 3 petang itu diserbu kira-kira 1,000 pengunjung bagi membuat semakan.

Sumber kementerian berkata, kementerian bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara untuk membuka kaunter terbabit sempena Majlis Sambutan Hari Raya yang diadakan di kementerian berkenaan.

Tinjauan Harian Metro mendapati, orang ramai mula beratur sejak sebelum jam 10 pagi menyebabkan lobi kementerian berkenaan sesak.

Terdapat lapan kaunter dibuka dan semakan hanya mengambil masa cuma lima minit.

Sementara itu, Norhayati Adon, 37, berkata, dia terpaksa beratur hampir sejam untuk membuat semakan.

“Saya dapat tahu mengenai perkara ini melalui mesej viral yang diberikan dalam aplikasi WhatsApp dan kebanyakan wang yang tidak dituntut oleh saya adalah melalui akaun lama Bank Rakyat, biasiswa dan Tabung Nuri,” katanya.

Bagi Abdul Latif Ahmad Zabidi, 68, berkata, dia membuat semakan kerana beranggapan mempunyai wang yang tidak dituntut.

Sebelum ini, Jabatan Akauntan Negara dalam satu kenyataannya berkata, sehingga Disember tahun lalu, sebanyak RM5.6 bilion jumlah terkumpul gagal diserahkan kepada empunya kerana tiada tuntutan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 5:28 AM