Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Sebanyak RM11.2 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) sudah diuruskan oleh Jabatan Akauntan Negara sehingga 30 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kira-kira 70 peratus daripada RM11.2 bilion WTD itu adalah merupakan wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.

Katanya, dua lagi kategori WTD adalah wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus, dividen dalam tempoh setahun atau lebih serta wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat yang mempunyai lebihan dalam tempoh dua tahun atau lebih.

"Sehingga 23 Mei lalu, kita telah kembalikan sebanyak RM3.3 bilion kepada rakyat yang menuntut," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanyakan jumlah WTD yang tersimpan setakat 31 Mac 2023 dan apakah cadangan untuk memanfaatkan wang itu yang terbiar lama untuk pembangunan negara.

Mengulas mengenai bagaimana kerajaan memanfaatkan WTD itu, Ahmad berkata, sebanyak RM10 bilion dimasukkan ke dalam simpanan tetap.

"Daripada simpanan tetap itu, kita dapat RM250 juta setahun sejak 10 tahun lalu. Wang sebanyak RM250 juta itu kita kembalikan semula serta wang disatukan digunakan untuk pembangunan dan bantuan rakyat," katanya.

Kui Lun dalam masa sama turut bertanyakan soalan tambahan adakah kerajaan bercadang mewujudkan dana biasiswa pendidikan daripada WTD bagi membantu pelajar yang layak dan tidak mempunyai sumber kewangan selain usaha kerajaan menjejaki pemiliknya.

Menjawab perkara itu, Ahmad berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak daripada wang berjumlah RM250 juta diperoleh hasil daripada simpanan tetap bernilai RM10 bilion itu.

"Tetapi setakat ini, kita berikan untuk hal-hal secara umum bagi kembalikan duit itu kepada rakyat.

"Kumpulan wang disatukan ini ada tiga. Pertama, akaun hasil disatukan di mana kita masukkan RM3 bilion daripada WTD.

"Kedua, akaun amanah yang disatukan dan di situ (diletakkan) sebanyak RM7 bilion daripada WTD manakala RM10 bilion sebagaimana saya maklumkan, ia dimasukkan dalam simpanan tetap.

"(Baki) sebanyak RM1 bilion lagi untuk pusingan pembayaran," katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, pihak terbabit yang mahu menuntut wang masing-masing boleh melayari portal eGUMIS.

"Dalam tempoh masa 14 hingga 30 hari apabila dokumen lengkap diberikan, maka wang itu boleh dapat kembali.

"Saya ingin menyeru kepada rakyat di luar sana, silalah tuntut WTD itu. (Tetapi) pertama kena semak dulu ada atau tidak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 11:30 AM