KETIGA-TIGA suspek lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 8.30 pagi. FOTO BERNAMA
KETIGA-TIGA suspek lelaki tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 8.30 pagi. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Johor Bahru: Tempoh reman tiga individu termasuk dua remaja yang ditahan kerana dipercayai bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun, disambung tiga hari lagi hingga Rabu ini.

Perintah reman yang berkuat kuasa esok itu dikeluarkan oleh Majistret R Salini.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki berkenaan yang memakai baju lokap berwarna jingga, tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada 8.30 pagi.

Sebelum ini, dua remaja berusia 15 dan 17 tahun serta seorang lelaki berusia 18 tahun itu direman empat hari bermula 21 Disember yang berakhir hari ini, bagi membolehkan siasatan terhadap mereka mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan culik.

Ketiga-tiga mereka ditahan di Pontian pada 20 Disember selepas dipercayai bersubahat menculik kanak-kanak terbabit di bandar raya ini pada 12 Disember lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat dipetik sebagai berkata seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap di Singapura cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta pada 12 Dis lepas, di sini.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu selamat.

Raub berkata seorang lelaki berusia 41 yang dipercayai rakan kongsi kepada warga China itu dan merupakan suspek utama, berjaya ditahan di hadapan Balai Polis Taman Pelangi, di sini pada 8 malam hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 2:03 PM