Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki warga China yang berstatus penduduk tetap Singapura parah ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya daripada menjadi mangsa culik di daerah ini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.30 petang, 12 Disember lalu, apabila anak mangsa berusia tujuh tahun dibawa lari oleh sekumpulan lelaki yang mana seorang daripadanya dipercayai rakan kongsi perniagaan mangsa.

"Suspek utama adalah ahli rakan kongsi kepada bapa kanak-kanak itu dan dia merancang bersama tiga lagi suspek menculik kanak-kanak terbabit.

"Suspek utama merancang mahu melakukan pemerasan wang sebanyak RM300,000 daripada mangsa.

"Bagaimanapun, tiada sebarang wang tebusan diberikan kepada suspek kerana polis berjaya melakukan tangkapan ke atas suspek utama pada hari yang sama dengan kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Raub, suspek utama kes itu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan bekerja sebagai mekanik kereta dengan menjalankan kerja servis kereta di rumah sudah ditahan dan dituduh mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan di mahkamah, semalam.

"Suspek utama ditahan pada hari sama kejadian di hadapan Balai Polis Taman Pelangi sebelum kemudian direman tujuh hari bermula 13 Disember hingga semalam.

"Dia dituduh semalam di Mahkamah Majistret di sini, mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

TULAR seorang warga Singapura yang mendakwa cedera parah termasuk kehilangan gigi ketika menyelamatkan anak lelakinya. FOTO Tular
TULAR seorang warga Singapura yang mendakwa cedera parah termasuk kehilangan gigi ketika menyelamatkan anak lelakinya. FOTO Tular

"Kes dalam proses perbicaraan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya kini dalam proses mengesan tiga lagi suspek yang dipercayai terbabit yang mana ketiga-tiganya adalah lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an.

Terdahulu, tular seorang warga Singapura berusia 40 tahun yang mendakwa cedera parah termasuk kehilangan gigi ketika menyelamatkan anak lelakinya berusia tujuh tahun daripada menjadi mangsa culik di daerah ini.

Sebuah portal luar negara memaklumkan, kanak-kanak itu diculik sekumpulan lelaki menaiki sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback tanpa sebarang nombor pendaftaran.

Dilaporkan, bapa kanak-kanak itu bertindak mengejar kenderaan dinaiki suspek sebelum merempuh kenderaan itu menggunakan kenderaannya menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka.

Kenderaan suspek bertindak cuba melarikan diri sebelum bapa mangsa menemukan kereta tersebut ditinggalkan di tepi jalan kira-kira tiga kilometer daripada lokasi kejadian dia merempuh kenderaan berkenaan.

Dia kemudian menemukan anaknya berseorangan di dalam kenderaan itu, manakala semua suspek berjaya melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 1:30 PM