Tiga remaja termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Johor Bahru, atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak lelaki pada 12 Disember lalu. FOTO OMAR AHMAD
Tiga remaja termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Johor Bahru, atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak lelaki pada 12 Disember lalu. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Tiga remaja lelaki termasuk dua remaja bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak lelaki.

Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, R Salini.

Mengikut kertas pertuduhan, Jonathan Yet, 18 bersama dua rakannya berusia 15 dan 17 tahun secara bersama menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

Perbuatan itu dilakukan di tepi Jalan Serampang di Johor Bahru lebih kurang jam 5.15 petang pada 12 Disember lalu.

Pertuduhan dijalankan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sampai tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shamira Mohd Luthfi Ismail, manakala ketiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwa mencadangkan RM8,000 sebagai jaminan kepada semua tertuduh, namun semua tertuduh merayu memohon jaminan dikurangkan.

Mahkamah menetapkan RM2,500 sebagai jaminan untuk setiap tertuduh, bagaimanapun dua tertuduh remaja bawah umur perlu dijamin oleh ibu bapa atau penjaga.

Mahkamah turut menetapkan 23 Januari ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan laporan sosial dan laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pada 20 Disember lalu, dua remaja lelaki antara tiga ditahan, dipercayai bersubahat menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di bandar ini pada 12 Disember lalu.

Dalam kejadian 12 Disember lalu, Raub berkata seorang lelaki warga China berstatus penduduk tetap di Singapura cedera parah ketika menyelamatkan anak lelakinya daripada diculik sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 11:21 AM