Polis menahan lelaki warga Myanmar yang cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat fi rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang. FOTO IHSAN PEMBACA
Polis menahan lelaki warga Myanmar yang cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat fi rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang. FOTO IHSAN PEMBACA
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar selepas didakwa cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di hadapan rumahnya di Batu Tiga, Jalan Gambang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi semalam suspek berusia 30 tahun ditahan di tepi jalan berdekatan Pusat Dagangan Batu Tiga, di sini oleh orang awam selepas melihat bapa mangsa mengejar lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 9.45 pagi sebelum sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dari Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi didapati suspek diberkas oleh orang awam dan bapa mangsa.

"Suspek dibawa ke IPD Kuantan dan proses reman akan dilakukan oleh pegawai penyiasat kes hari ini

"Turut dirampas bersama suspek ialah sehelai kain lampin berwarna putih dipercayai digunakan untuk menutup kepala mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 363/511 atas cubaan melarikan orang dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Wan Zahari menambah, bapa mangsa juga penjual ketam nipah membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku ketika mangsa bermain pasir di hadapan rumah manakala ibunya pula menyiram pokok bunga di halaman.

Tambahnya, bapa mangsa mendengar bunyi jeritan isterinya yang mengatakan anak bongsu mereka dilarikan seorang lelaki tidak dikenali.

"Susulan itu, bapa mangsa bertindak segera mengejar suspek yang cuba melarikan diri.

"Dengan bantuan orang ramai suspek ditangkap dan diserahkan kepada pihak polis untuk tangkapan semula," katanya.

Sehubungan itu, Wan Zahari menasihati orang ramai supaya sentiasa menjaga keselamatan ahli keluarga dan peka terhadap kawasan sekeliling bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 2:04 PM