TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh. FOTO Izz Laily Hussein.
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan membunuh. FOTO Izz Laily Hussein.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh lelaki dipercayai kekasihnya, minggu lalu.

Tertuduh, Sim Hui Ying, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Sim didakwa dengan niat membunuh hingga menyebabkan kematian Yap Kelly, 29, di sebuah hotel di Taman Mount Austin di sini, pada 8 malam, 20 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan semula bagi laporan kimia dan laporan bedah siasat.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan tertuduh ditahan polis pada hari kejadian dan direman tujuh hari bermula keesokan harinya.

Difahamkan, remaja itu bertindak demikian kerana menolak permintaan mangsa yang mahu melakukan hubungan seks tanpa kerelaan dan dia kemudian memaklumkan hal itu kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 September 2022 @ 12:39 PM