Omar Ahmad


Johor Bahru: Pemandu e-hailing didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, awal bulan ini.

Tertuduh, Chan Wen Jie, 28, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R Salini.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan kerana kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh membunuh Lee See Jie, 4, antara jam 8 hingga 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria di sini, pada 2 Oktober lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam K Veeranesh Babu.

Mahkamah menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, dalam mahkamah sama, seorang pembantu rumah warga Indonesia yang ditahan bersama tertuduh berdepan pertuduhan memasuki negara ini tanpa permit.

Tertuduh, Yuliana, 40, dijatuhi hukuman penjara enam bulan bermula tarikh tangkapan selepas mengaku bersalah atas tuduhan memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen sah.

Mengikut pertuduhan, Yuliana melakukan kesalahan di tempat sama pada 3 Oktober lalu, jam 10.15 pagi.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak lebih enam sebatan.

Media sebelum ini melaporkan mangsa maut dipercayai didera rakan bapa dan pembantu rumah di sebuah rumah di Taman Skudai, pada 2 Oktober lalu.

Bapa mangsa yang bekerja di Singapura dan ibunya bekerja di Batu Pahat meminta bantuan daripada suspek lelaki untuk menjaga dua anak mereka termasuk mangsa sejak tiga bulan lalu.

Laporan bedah siasat menemukan beberapa kesan penderaan ke atas tubuh kanak-kanak malang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 12:49 PM