GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Hujan berterusan sejak semalam sehingga hari ini menyaksikan dua sungai di Kelantan melepasi paras bahaya, dua paras amaran dan enam sungai lagi paras berjaga-jaga.

Berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai yang melepasi paras bahaya adalah Sungai Aring di Felda Aring yang mencatatkan bacaan 80.16 meter (m) dan Sungai Lanas di Air Lanas iaitu 29.56m.

Dua sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Pergau di Kuala Balah iaitu 55.34 m dan Sungai Golok di Rantau Panjang iaitu 8.28m.

Manakala, enam sungai melepasi paras berjaga-jaga adalah Sungai Lebir di Kuala Koh (70.34m); Sungai Galas di Chegar Lapan Kelantan (23.39m); Sungai Galas di Dabong (35.39m).

Selain itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai (21.74m); Sungai Golok di Kuala Jambu (2.19m) dan Sungai Semerak di Jambatan Melor (7.70m) turut melepasi paras bahaya.

Sementara itu, berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir meningkat kepada 811 mangsa pagi ini berbanding 670 mangsa malam tadi.

Kesemua mangsa membabitkan 224 keluarga itu ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS).

Jeli menyaksikan daerah terbaru dilanda banjir dengan tiga PPS dibuka daerah berkenaan mulai pagi ini dan Pasir Mas membabitkan dua PPS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 8:32 AM