Sungai Golok
Sungai Golok
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Lima sungai utama di Kelantan masih melepasi paras bahaya sehingga 8.30 pagi ini.

Menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, sungai yang melepasi paras bahaya itu ialah Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 10.63 meter (m) berbanding paras normal lima m.

Selain itu, Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah juga melepasi paras bahaya dengan bacaan 24.62 m berbanding paras normal 19 m.

Tiga lagi sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat (2.97 m), Sungai Lebir di Kampung Tualang dekat Kuala Krai (38.6 m) dan Jambatan Melor di Bachok (10.02 m).

Pada masa sama, tiga sungai melepasi paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai yang mencatatkan 24.82 m.

Dua lagi sungai lain ialah Sungai Pergau di Kuala Balah, Jeli (55.16 m) dan Sungai Lanas di Air Lanas dekat Jeli merekodkan bacaan 29.38 m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 10:01 AM