MASJID Kubang Sawa yang terkepung disebabkan limpahan air dari Sungai Golok semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS
MASJID Kubang Sawa yang terkepung disebabkan limpahan air dari Sungai Golok semalam. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan berkurangan kepada 1,065 mangsa membabitkan 389 keluarga sehingga 9 pagi ini.

Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Tanah Merah dan Pasir Mas.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan 986 mangsa membabitkan 366 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS.

Manakala, Tanah Merah mencatatkan 79 mangsa membabitkan 23 keluarga di dua PPS.

Kuala Krai yang sebelum ini antara yang terawal dilanda banjir kini pulih sepenuhnya dan kesemua PPS sudah ditutup.

Sementara itu, portal ebanjir Kelantan mendapati, dua sungai melepasi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatatkan bacaan 10.24 meter dan Sungai Golok di Kuala Jambu mencatatkan 2.81m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 9:41 AM