SEBAHAGIAN penduduk Taman Perumahan Prima Pasir Mas dan Taman Kampung Wira berpindah ke tempat selamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SEBAHAGIAN penduduk Taman Perumahan Prima Pasir Mas dan Taman Kampung Wira berpindah ke tempat selamat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Mangsa banjir di Kelantan terus meningkat kepada 5,255 orang sehingga petang ini, berbanding 3,546 mangsa direkodkan pagi tadi, berikutan hujan lebat masih berterusan.

Malah, dua daerah terbaharu dilanda banjir iaitu Kota Bharu dan Machang menjadikan keseluruhan tujuh daerah dilanda banjir setakat jam 3.30 petang hari ini.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa banjir membabitkan 1,811 keluarga itu ditempatkan di 58 pusat pemindahan sementara (PPS).

Pasir Mas menyaksikan mangsa banjir meningkat secara mendadak kepada 2,917 orang yang berpindah ke 14 PPS.

Kuala Krai pula mencatatkan 963 mangsa yang ditempatkan di 12 PPS, diikuti Jeli membabitkan 540 mangsa di tujuh PPS.

Tanah Merah pula merekodkan 508 mangsa di 13 PPS diikuti Pasir Puteh 601 mangsa di lima PPS, Machang 97 mangsa di dua PSS dan Kota Bharu merekodkan 13 mangsa di satu PPS.

Sementara itu, berdasarkan portal eBanjir Kelantan, dua sungai di negeri itu masih melepasi paras bahaya iaitu SungaiGolok di Rantau Panjang dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah.

Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 10.71 meter (m) dan Sungai Golok di Jenob mencatatkan 26.69 m.

Pada masa sama, sebanyak 24 jalan ditutup kepada semua kenderaan dan kenderaan ringan di daerah yang dilanda banjir sehingga petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 4:01 PM