DATIN Seri Rosmah Mansor. FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATIN Seri Rosmah Mansor. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor mengemukakan representasi ketiga kepada Peguam Negara untuk menggugurkan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7,097,750 dan lima kesalahan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perkara itu diberitahu peguam belanya Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin kepada Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy di sini, hari ini dan memaklumkan representasi itu dihantar semalam kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurut Firoz Hussein, representasi ketiga itu mempunyai isu serius yang perlu dipertimbangkan oleh Peguam Negara, dan memohon supaya permohonan Rosmah untuk membatalkan tuduhan yang sepatutnya didengar hari ini ditangguhkan ke tarikh lain.

Katanya, isu yang dibangkitkan dalam representasi juga menyentuh perkara yang akan dihujahkan dalam permohonan untuk membatalkan tuduhan ke atas anak guamnya, dan pembelaan tidak berniat menangguhkan prosiding terbabit.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mengesahkan menerima surat representasi itu semalam dan menyatakan ia perlu diteliti terlebih dahulu kerana terdapat isu serius yang akan dipertimbangkan.

Sehubungan itu, Ahmad Akram berkata, pendakwaan tidak membantah permohonan pihak pembelaan untuk melapangkan prosiding (hari ini).

Bagaimanapun Muniandy mengarahkan semua pihak meneruskan dengan hujahan pada hari ini.

Dua representasi yang dihantar Rosmah sebelum ini masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos lalu masih dalam kajian Jabatan Peguam Negara dan belum diputuskan.

Sementara itu dalam hujahan untuk membatalkan kesemua tuduhan berkenaan, seorang lagi peguam bela Rosmah, Amer Hamzah Arshad berkata, anak guamnya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil kerana 17 pertuduhan dihadapinya itu adalah cacat dan mengelirukan.

Menurut Amer Hamzah, tuduhan berkenaan bertindan antara satu sama lain dan ia sebenarnya merujuk kepada kesalahan sama, yang mana tuduhan pertama hingga tuduhan pindaan ke-12 (bagi kes pengubahan wang haram) adalah kabur dan defektif.

Katanya, ini adalah kerana ia tidak menyatakan apa aktiviti haram atau kesalahan predikat iaitu daripada mana hasil dikatakan sudah diperoleh manakala butiran dalam pertuduhan ke-13 hingga ke-17 (gagal isytihar pendapatan) adalah mengelirukan.

Rosmah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan bagi kes terbabit bermula pada 24 Ogos lepas dan dua saksi sudah dipanggil memberi keterangan.

Prosiding hujahan bersambung 16 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2023 @ 1:09 PM