ROSMAH, gambar. FOTO Asyraf Hamzah
ROSMAH, gambar. FOTO Asyraf Hamzah
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datin Seri Rosmah Mansor masih belum menerima jawapan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung status representasi ketiga yang dihantar Disember tahun lalu.

Difahamkan, dua representasi lain turut dihantar isteri bekas Perdana Menteri itu pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lalu, namun masih tidak mendapat sebarang jawapan daripada AGC.

Peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah berkata, representasi ketiga dikemukakan pada 12 Disember tahun lalu untuk mengugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bermula 2013 lalu.

Ketika prosiding hujahan untuk menggugurkan kes di hadapan Hakim K Muniandy, Amer berkata, meski pun masih belum menerima maklum balas daripada AGC, pasukan pembelaan tidak berhasrat untuk menangguhkan prosiding berkenaan.

Justeru itu beliau berkata, hujahan berhubung permohonan terbabit boleh dibuat sebagai mana yang dijadualkan sebelum ini.

"Kami memutuskan untuk meneruskan penghujahan (untuk menggugurkan pertuduhan)," kata peguam itu.

Dalam hujahan itu, beliau berkata, pertuduhan yang dihadapi anak guamnya adalah tidak berasas.

Katanya, objektif pertuduhan adalah untuk memberi notis kepada isteri kepada bekas Perdana Menteri itu, namun kes yang dikenakan tidak mempunyai butiran yang lengkap.

Katanya, cara beberapa pertuduhan dirangka, tidak menunjukkan butiran yang diiktiraf dalam undang-undang.

Menurutnya, maklumat kesalahan itu tidak dinyatakan menjadikannya sebagai pertuduhan tidak berasas.

"Terdapat pertindihan kes, yang mana Rosmah dituduh melakukan kesalahan yang sama, sebanyak dua kali.

"Perkara yang cuba dilakukan oleh pihak pendakwaan ialah mencipta sebanyak mungkin pertuduhan sebagai set fakta yang sama, sedangkan ia tidak adil dan tidak berperlembagaan," katanya.

Selepas Amer berhujah, mahkamah menetapkan 23 Ogos depan untuk sambungan hujahan daripada seorang lagi peguam Rosmah, iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Mengikut pertuduhan, Rosmah, 73, didakwa atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 serta di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan mengelakkan cukai pula dibuat mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang menuntut Rosmah mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 dengan tiada sebab yang munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos 2023 dan dua saksi dipanggil memberi keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:57 PM