DATIN Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini . FOTO Bernama
DATIN Seri Rosmah Mansor (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini . FOTO Bernama
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor memberi kenyataan palsu berhubung wang di deposit dalam akaunnya ketika disoal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, membuat kenyataan pembukaan itu sebelum perbicaraan kes Rosmah atas 17 tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai, bermula hari ini.

Ahmad Akram berkata, pihaknya akan mengemukakan kenyataan direkodkan daripada Rosmah mengikut Seksyen 32(3) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

"Menjadi kes pendakwaan apabila keseluruhan keterangan dipertimbangkan secara menyeluruh, tindakan tertuduh (Rosmah) menyokong kesimpulan yang tidak dapat ditolak bahawa deposit dipersoalkan adalah hasil aktiviti menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLA.

"Bukti dikemukakan pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa deposit berkenaan hasil aktiviti haram," katanya ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Ahmad Akram berkata, Rosmah tidak mengisytiharkan wang depositnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti dikehendaki undang-undang.

"Tertuduh melanggar Seksyen 112 Akta Cukai Pendapatan 1967, kesalahan di bawah AMLA.

"Oleh itu, perlakuan Rosmah adalah satu kesalahan yang serius atas aktiviti menyalahi undang-undang iaitu pengubahan wang haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 1:47 PM