ROSMAH hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
ROSMAH hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. FOTO Eizairi Shamsudin.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor, atas 17 tuduhan pengubahan wang haram RM7.1 juta dan pengelakan cukai ke 24 Ogos ini, susulan representasi difailkan isteri Datuk Seri Najib Razak itu bagi menggugurkan pertuduhan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, membuat keputusan itu bagi memberi masa kepada pendakwaan untuk mempertimbangkan representasi terbabit.

"Tarikh ditetapkan untuk bicara sebelum ini iaitu 28 dan 30 Jun, 6, 7, 28 dan 31 Julai, 1, 2, dan 11 Ogos dilapangkan, bicara akan mula 24 Ogos.

"Jaminan terhadap tertuduh dilanjutkan dan jika representasi itu diterima, ia perlu diberitahu kepada mahkamah," katanya.

Terdahulu, peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, berkata representasi itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, pada 3 Mei lalu.

"Beberapa fakta dalam representasi berhubung sabitan terhadap anak guam berkaitan projek hibrid solar sebelum ini.

"Saya berharap representasi itu dipertimbangkan pendakwaan dan sebelum bicara mula hari ini, saya mohon penangguhan.

"Saya percaya pendakwaan tidak bantah permohonan itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, berkata pihaknya memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk menyediakan laporan kepada pihak atasan susulan representasi difailkan.

Katanya, kajian perlu dibuat berhubung isu perundangan serius diketengahkan dalam representasi yang rumit dan ada fakta baharu.

"Saya dengan rendah diri memohon sekurang-kurangnya dua bulan untuk mencapai keputusan representasi sebelum bicara dijalankan.

"Saya tidak bersedia untuk meneruskan dengan perbicaraan hari ini atas representasi dibuat," katanya.

Pada 23 Mac lalu, pendakwaan memaklumkan 13 saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan terhadap Rosmah.

Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Beliau berdepan 12 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Pada 1 September 2022, Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Hakim itu juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan yang akan didengar selama empat hari bermula 11 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 12:46 PM